Ringkasan Hulagu Khan: Khabar Hitam dari Timur

Plot novel ini bermula dari masa Hulagu Khan masih lagi seorang kanak-kanak. Ibunya telah menceritakan kehebatan datuknya, Temujin atau lebih dikenali sebagai Genghis Khan dan menggalakkan Hulagu untuk mengikut jejak langkah datuknya sebagai penakluk yang hebat. Sejak usia yang masih muda, Hulagu dilatih dengan ilmu kepahlawanan.

Setelah dewasa, Hulagu bercita-cita untuk membina empayarnya sendiri dan berusaha untuk menumbangkan Kerajaan Bani Abbasiyyah. Sementara itu, Kerajaan Bani Abbasiyyah pula menghadapi konflik dalaman seperti pelantikan Khalifah Al-Musta'shim yang lemah dalam pentadbiran serta penentangan yang dihadapi akibat ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbirannya.

Selain itu, faktor yang turut menyumbang terhadap kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiyyah adalah kewujudan pengkhianat dalam negara, iaitu Umayiduddin al-Aqami. Kesemua faktor ini akhirnya berjaya merealisasikan impian Hulagu Khan untuk meruntuhkan peradaban Islam yang dibina oleh Bani Abbasiyyah selama lebih 500 tahun.

Bab-bab terakhir novel ini menggambarkan hari-hari terakhir kegemilangan empayar yang dibina oleh Hulagu Khan setelah bala tenteranya berulang kali dikalahkan oleh tentera Islam dari Mesir yang dipimpin oleh Saifuddin Qutz, Berke Khan, Baibars dan Rukunuddin al-Daudar. Hulagu Khan mati ketika dalam pelarian di Azerbaijan semasa sedang tidur. Seperti yang diminta olehnya, mayat Hulagu Khan dimasukkan ke dalam peti besi yang ditutup rapat, kemudian diturunkan ke dalam tasik Urmia.